SALAM TAKZIAH KEPADA MANGSA KEMALANGAN RUNTUHAN KREN DI MASJIDIL HARAM

Innalillahi wa inna ilaihi raajiun,

siapa kita untuk menidakkan Qadha’ dan Qadar yang telah Allah tetapkan? Sesungguhnya berita ini sangat mengejutkan semua pihak terutamanya mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menunaikan haji.

Kami juga tak terkecuali, insan terdekat iaitu Maklong dan anaknya Hakim berada di sana, begitu juga dengan PK HEM & Isteri  sekolah kami. Alhamdulillah mendapat perkhabaran mereka sihat2 di sana.

Salam Takziah buat semua dan marilah kita sama-sama sedekahkan  Al-Fatihah kepada semua mangsa yang terlibat.

Mereka Insan terpilih, Syahid di Rumah Allah, dijemput mengadapNya. sedangkan kita di sini belum tahu lagi pengakhiran yang bagaimana. Semoga kita dijemput menemuinya dalam Husnul Khaatimah.

10624908_967324823328716_2550687221841781970_n 11737940_967324753328723_444350218359258078_n 12002041_967325049995360_7814056069194758450_n

 

SIDANG MEDIA
KEMALANGAN RUNTUHAN KREN DI MASJIDIL HARAM
TH HOTEL KELANA JAYA
12 SEPTEMBER 2015 @ 10.30 PAGI

1. Insiden Kren tumbang di Masjidil Haram berlaku pada hari Jumaat, jam 5.00 petang waktu Saudi, 11 September 2015.

2. Bermula dengan ribut pasir dan hujan lebat. Kren yang tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan Sa’ie. Kren yang tumbang telah menimpa Bangunan Sa’ie tersebut dan sebahagian daripada rangkanya telah jatuh di bangunan Sa’ei berdekatan dengan mataf.

3. Pasukan mencari dan menyelamat TH seramai 30 orang yang terdiri daripada Pasukan Perubatan, Kebajikan dan Peronda dikerahkan ke tempat kejadian sebaik sahaja berita diterima daripada pasukan peronda bertugas di dalam Masjidil Haram.

4. Hasil operasi tersebut telah mengenal pasti seramai 10 Jemaah haji Malaysia terlibat dalam kemalangan.

5. Pasukan mencari dan menyelamat TH telah memberi bantuan kepada para Jemaah Haji dan juga memberi rawatan di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

6. Pasukan ini masih memantau situasi dan mengenal pasti jumlah sebenar Jemaah Haji Malaysia yang terlibat.

7. Pasukan Perubatan TH juga telah pergi kesemua Hospital Arab Saudi bagi mengenal pasti sekiranya terdapat Jemaah Haji Malaysia yang terlibat dihantar ke Hospital Arab Saudi untuk rawatan.

8. Operasi mencari dan menyelamat ini selesai pada jam 11.45 malam apabila semua kawasan di dalam dan sekitar masjid diperiksa dengan rapi.

9. Seramai 3 Jemaah Haji Malaysia kini di rawat Hospital Arab Saudi; 6 di Pusat Rawatan TH dan 1 telah dibenarkan pulang ke bilik penginapan.

10. Kesemua Jemaah Haji yang terlibat dengan kemalangan ini dilaporkan stabil.

11. Pada masa yang sama Pengurusan Maktab telah membuat semakan dari bilik ke bilik pada jam 10.00 malam bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia selamat.

12. Pada jam 4.00 pagi waktu Saudi 12 September 2015 didapati 6 orang jemaah haji masih belum dapat di kesan iaitu 2 lelaki dan 4 perempuan.

13. TH sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara bagi mencari jemaah haji tersebut. Operasi ini diteruskan sehingga Jemaah tersebut ditemui/dikenal pasti.

14. Pada masa kini mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, seramai 107 kematian dan 238 kecederaan.

15. Marilah kita bersama-sama berdoa dan mohon ke hadrat Illahi akan keselamatan semua Jemaah, khususnya Jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Sumber : Official: Lembaga Tabung Haji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge